Sistem Bretton Woods adalah
sistem urustadbir matawang antarabangsa yang menetapkan peraturan-peraturan hal
ehwal kewangan dan komersil di antara negara-negara industri utama dunia pada
pertengahan abad ke-20. Dengan sistem ini setiap negara perlu mempunyai dasar
monetari bagi sistem pertukaran nilai mata wang yang ditetapkan yang ditambat
dengan nilai emas. Sistem ini adalah contoh pertama rundingan aturan dan
seliaan matawang yang bertujuan untuk mentadbir hal-ehwal kewangan di antara
negara-negara merdeka.
Di bawah Sistem Bretton Woods,
setiap negara hendaklah mewujudkan dasar kewangan yang mengekalkan kadar
pertukaran mata wang dalam nilai yang tetap-dengan kelonggaran unjuran tidak
melebihi 1 peratus negatif (-1%) atau positif (+1%)- yang ditambat dengan nilai
emas dan kemampuan IMF sebagai penyelesaian sementara ketidakseimbangan
bayaran. Dalam menghadapi peningkatan kekangan kewangan, sistem ini runtuh pada
tahun 1971, selepas Amerika Syarikat secara bersendirian menamatkan
kebolehtukaran dolar kepada emas. Tindakan Amerika ini mewujudkan keadaan di
mana dolar Amerika Syarikat menjadi satu-satunya mata wang jaminan dan mata
wang sandaran untuk negara-negara ahli.
IMF dan Bank Dunia hari ini
adalah warisan sistem Bretton Woods yang roboh pada era 1970an.
Sistem Bretton Woods wujud
berdasarkan kepada beberapa faktor politik utama: pengalaman bersama yang
dikongsi negara-negara dunia dalam Kemelesetan Besar, penumpuan kuasa
sebilangan kecil negara (yang diperkuatkan dengan pengecualian sejumlah negara
penting kerana perang), dan kewujudan kuasa dominan yang bersedia dan mampu
membawa peranan sebagai pemimpin dalam urusan kewangan global.
Dalam persediaan membina semula
sistem ekonomi antarabangsa ketika Perang Dunia II masih berlangsung dan
memusnahkan peradaban dunia, 730 delegasi dari semua 44 negara sekutu berkumpul
di Hotel Mount Washington di Bretton Woods, New Hampshire, Amerika Syarikat,
bagi menghadiri Persidangan Monetari dan Kewangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Para delegasi menandatangani Perjanjian Bretton Woods semasa tiga minggu
pertama bulan Julai 1944.
Dalam menyiapkan sistem
peraturan, institusi, dan prosedur untuk mengawal selia sistem kewangan
antarabangsa, para delegasi di Bretton Woods menubuhkan Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF) dan Bank Antarabangsa bagi Pemulihan dan Pembangunan (IBRD),
yang sekarang ini merupakan sebahagian daripada Kumpulan Bank Dunia.
Pertubuhan-pertubuhan ini mula beroperasi pada tahun 1945 selepas mempunyai
negara ahli yang cukup untuk meratifikasi perjanjian.
Di bawah Sistem Bretton Woods,
setiap negara perlu mewujudkan satu dasar kewangan yang mengekalkan kadar
pertukaran matawang kertasnya yang ditambat kepada dolar Amerika Syarikat.
Dolar Amerika Syarikat pula nilainya ialah pada kadar 35 dolar bersamaan satu
auns emas.
Rekabentuk sistem Bretton Woods
memaksa negara-negara di dunia hanya boleh melaksanakan penukaran emas kepada
"matawang utama" iaitu dolar AS. Negara-negara dunia boleh untuk
tidak menukar dolar kepada emas, dan sebaliknya hanya menyimpan dollar.
Secara amalinya, bagaimanapun,
oleh kerana "matawang rizab" utama ialah dolar AS, ini bermakna
matawang negara-negara lain ditambat kepada dolar AS, dan akan membeli atau
menjual dolar AS bagi memastikan pasaran tukaran matawang tidak melebihi
perbezaan satu peratus dari kadar yang ditetapkan.
Demikian itu, dolar AS
mengambilalih peranan yang dimainkan emas di bawah standard emas dalam sistem
kewangan antarabangsa. Dengan terciptanya Bretton Woods, dengan Amerika
Syarikat menghasilkan separuh dari barangan perusahaan dan separuh dari
simpanan emas dan matawang, AS memainkan peranan sebagai pemacu utama ekonomi
dunia.
Sepanjang 1950an, Washington
mengekalkan defisit pembayaran dalam usaha untuk membiayai pinjaman, bantuan
dan askar untuk rejim-rejim sekutu. Bagaimanapun, akibat penglibatan Amerika
dalam Perang Vietnam, negara itu mengeluarkan jumlah wang kertas melebihi
simpanan emasnya. Oleh itu, pada 15 Ogos 1971, Amerika menceraikan tambatan
dolar kepada emas.
Tindakan menceraikan tambatan
dolar kepada emas diambil oleh Presiden AS ketika itu, Richard Nixon bagi
mengelakkan negara-negara yang menandatangani Perjanjian Bretton Woods daripada
menuntut jumlah emas yang setara dengan dolar Amerika Syarikat yang berada
dalam rizab mereka kerana jika itu berlaku, Amerika Syarikat tidak akan dapat
menunaikan janjinya dan berkemungkinan jatuh muflis.
Akibat daripada tindakan ini,
dolar Amerika Syarikat menjadi satu-satunya matawang sandaran dan juga matawang
rizab kepada negara-negara yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan